FIRA Roboworld Cup Kuala Lumpur 2013 (Artikel Bergambar)!

Ditulis oleh; Unknown on


Politeknik Muadzam Shah merupakan antara institusi pengajian tinggi yang telah dijemput bagi menyertai FIRA Roboworld Cup Kuala Lumpur 2013. Pertandingan yang diperkenalkan oleh Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pendidikan Malaysia itu, diadakan pada 21 hingga 30 Ogos 2013 bertempat di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, (PSA). Politeknik Muadzam Shah telah menghantar 4 pasukan untuk menyertai pertandingan ini dalam 3 kategori iaitu Merlin Cup (PMS TITAN), Simurosot (PMS PRIME & PMS MAVERICK) dan HuroCup (PMS AUTOMECH). Sehubungan itu, seramai 12 orang pelajar dan 6 orang pensyarah PMS terlibat sebagai pengurus pasukan, penasihat teknikal dan pensyarah pengiring.

Objektif pertandingan ini diadakan antara lain bertujuan untuk memupuk keupayaan bekerja secara berpasukan antara pelajar dan pensyarah disamping mampu mengembangkan daya kreativiti, inovasi dan daya pemikiran kritikal pelajar melalui pertandingan yang disertai. Selain itu, melalui pertandingan ini juga, diharapkan para pelajar mampu mengaplikasikan pengetahuan dalam bidang pengaturcaraan dan kemahiran teknikal dalam pengendalian robot dan memupuk keupayan pelajar dalam kemahiran berkomunikasi, sosial, tanggungjawab dan profesional.



Kategori pertama yang dipertandingkan dalam pertandingan ini adalah Merlin Cup yang bermula pada 21 Ogos sehingga 24 Ogos 2013. Politeknik Muadzam Shah telah menghantar seramai 4 orang peserta (PMS TITAN) untuk menyertai pertandingan ini. Di dalam pertandingan Merlin Cup ini, PMS TITAN bertemu dengan 2 pasukan dari PSIS dan PSAS. Namun, nasib tidak menyebelahi PMS TITAN kerana mengalami masalah dari segi kerosakan teknikal dan aplikasi sewaktu pertandingan berlangsung. Walaubagaimanapun, pengalaman menghadapi perlawanan sebenar amat berharga dan sangat membantu dalam meningkatkan kemahiran dalam membuat troubleshooting.

Pada 27 Ogos (Isnin), semua pasukan dari pelbagai institusi yang mewakili negeri dan negara telah diberi masa sekali lagi untuk menyesuaikan keadaan dengan gelanggang perlawanan sebelum memulakan pertandingan pada hari seterusnya. Pertandingan yang berlangsung selama empat hari yang melibatkan kategori Simurosot (PMS PRIME & PMS MAVERICK) dan Kategori HuroCup (PMS AUTOMECH) telah memberi pelbagai impak positif kepada kesemua peserta yang terlibat. PMS AUTOMECH menyertai 4 subkategori yang dipertandingkan iaitu Penalty Kick, Sprint, Basketball dan Marathon.

Di dalam subkategori Penalty Kick, robot setiap pasukan dikehendaki menendang bola yang disediakan ke dalam kick-zone, kemudian mengelak dari melanggar hadangan yang diletakkan sebelum menendang bola masuk ke dalam gol.

Di dalam subkategori Sprint, robot perlu bergerak ke hadapan melepasi had jarak yang ditentukan sebelum perlu mengundur ke belakang kembali ke titik permulaan. Robot juga perlu memastikan dirinya tidak terkeluar dari trek sendiri kerana kesalahan tersebut akan dikenakan penalti. Robot PMS AUTOMECH hanya berjaya menghabiskan separuh pusingan sahaja kerana kurang stabil dan terjatuh ketika berjalan mengundur.


Bagi subkategori Basketball pula, robot perlu mencari bola, mengambil  dan menjaringkan bola tersebut. Robot PMS AUTOMECH hanya berjaya mencari dan mengambil bola tetapi mengalami kesukaran untuk menjaringkan bola tersebut kerana masalah permukaan yang licin, dan tidak dapat mengesan jaring.

Bagi subkategori Marathon pula menguji ketahanan robot dimana robot perlu berjalan sejauh 120 meter berpandukan garisan berwarna yang disediakan di dalam keadaan pencahayaan yang berubah-ubah. Pasukan PMS AUTOMECH tidak dapat meyudahkan marathon berikutan hujan lebat yang turun ketika giliran PMS.


Bagi Kategori HuroCup, walaupun pasukan PMS AUTOMECH tidak mendapat tempat dalam subkategori-subkategori yang telah dipertandingkan, mereka telah mendapat pelbagai manfaat dari segi perkongsian ilmu dan idea dari peserta-peserta lain untuk meningkatkan teknik dalam menguruskan robot untuk melakukan pegerakan dengan lebih baik dan stabil.

Pasukan PMS PRIME dan PMS MAVERICK juga telah menunjukkan prestasi yang baik di dalam perlawanan peringkat kumpulan kategori SIMUROSOT di mana pasukan PMS PRIME telah berjaya sehingga ke peringkat penentuan suku akhir, manakala PMS Maverick telah berjaya mara ke  suku akhir dengan pencapaian sebagai top 8 setelah kecundang di tangan pasukan dari Curtin Universiti Sarawak.


Selain daripada pendedahan terhadap pertandingan peringkat anatarbangsa, para pelajar juga dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan teknikal dengan pasukan negara luar. Di samping itu, pelajar juga mula sedar kepentingan penguasaan bahasa Inggeris apabila mereka perlu berkomunikasi dengan peserta negara luar. Diharapkan program seperti ini dapat menarik minat lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang robotik seperti ini.

Pengirim:

Rafizah Binti Ab Rahman
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) DH44

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment