Tahniah ! Pasukan Pilihan PMS Juarai Kejohanan Sofbol Wanita Juasseh!

Ditulis oleh; Unknown on


Kejohanan Sofbol Wanita Terbuka Juasseh menjadi medan buat pasukan Pilihan Politeknik Muadzam Shah ( PMS ) merealisasikan visi mereka untuk menjadi salah sebuah pasukan elit dalam dunia sukan tersebut.



Meskipun kejohanan yang dianjurkan oleh SMK Juasseh, Negeri Sembilan itu turut disertai oleh 12 pasukan lain yang mana kebanyakannya terdiri daripada pasukan kelab dan IPT yang sememangnya sudah gah dalam sofbol tanah air seperti pasukan Universiti Malaya A, Universiti Utara Malaysia(UUM), Kelab Sofbol Bandar Tun Razak, K.Lumpur( Banturaz ), pasukan MSS Johor, Kolej Vokasional Dato Lela Maharaja, Rembau serta juga pasukan MSS Negeri Sembilan, namun PMS nyata lebih menyerlah.


Pasukan Pilihan PMS yang dibawah kendalian Junaidi b Abu Bakar seorang jurulatih Sofbol Pahang yang cukup berpengalaman itu tidak mudah melatah dengan reputasi pasukan-pasukan elit yang lain dalam kejohanan tersebut. Anak-anak buah Junaidi mampu menenggelamkan ego pasukan lain yang sejak awal kejohanan lagi diuar-uarkan sebagai jagoan sofbol. Terbukti para pemain PMS tidak mampu digugat emosi mereka dengan permainan psikologi , sebaliknya pemain-pemain PMS terbukti lebih bertenaga dengan skil permainan yang mengagum sehingga mereka dalam pentas final Berjaya mencalar nama hebat pasukan Banturaz dengan kiraan mata 11 berbalas empat.

Mengulas kejayaan pasukan PMS itu, Pengurus Pasukan Pilihan PMS Azlan Izuddin memberitahu para pemainnya berjaya mengotakan janji mereka untuk mempamerkan prestasi terbaik tanpa memberi ruang buat pemain lawan bertindak garang. Sebalik pemain-pemain Banturaz dalam aksi final terkedu dengan persefahaman utuh dan larian bertenaga para pemain PMS .
 
Alhamdulillah syukur akhir kami Berjaya juga mengecap nikmat sebagai jagoan dalam kejohanan ini. Kejayaan ini bukan laluan mudah buat kami menitinya, sebaliknya para pemain terpaksa mengharung pelbagai jalan penuh berliku , namun semua itu tidak meletakkan pemain Pilihan PMS buntu ikhtiar untuk bertindak sebagaimana yang direncanakan oleh jurulatih mereka, Junaidi Abu Bakar. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pemain PMS yang membuktikan mereka kini bukan lagi sebuah pasukan enteng yang boleh dipandang rendah,’ kata Azlan Izuddin ketika ditemui baru-baru ini.

‘Kami kini sedang berada di landasan yang tepat menuju kegemilangan dalam sukan sofbol khususnya dalam kalangan IPT Negara dan insyaAllah dalam Kejohanan Sofbol Inter Politeknik yang dijangka bakal diadakan pada Ogos depan di PSAS, Tanjung Malim pasukan PMS bersedia mempamerkan keupayaan mereka untuk memberi saingan kepada pasukan lebih unggul seperti PSMZA misalnya, tambah Azlan Izuddin lagi.

Kejohanan Sofbol Wanita Terbuka Juasseh itu ber;langsung pada 26 – 29 Mac lalu dan  disertai oleh 13 pasukan yang terdiri daripada pasukan negeri, Kelab dan juga IPT. Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh ADUN Juasseh, Dato Muhammad Razi b. Kail dalam suasana penuh ceria di padang SMK Juasseh, Negeri Sembilan.

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment