Para pelajar mengambil peluang untuk bergambar bersama Ustaz Mohd. Erfino bin Johari
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Baru-baru PMS telah mengadakan beberapa aktiviti khas buat para pelajar dan kakitangan. Antara lain bertujuan bagi mendedahkan warga PMS agar ikatan ukhuwah dan silaturahim dapat dibina sesuai dengan kehidupan manusia yang hidup bersaudara.
Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah Festival Kesenian Islam Peringkat Politeknik Muadzam Shah. Beberapa aktiviti telah dirangka agar para pelajar mampu menyertai dan mengikuti setiap aktiviti dan bersaing secara sihat dalam kalangan pelajar Politeknik Muadzam Shah. Justeru itu, Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris, Tilawah Al-Quran dan Nasyid diadakan sejajar dengan matlamat jawatankuasa pertandingan bagi mlihat dan mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan diperingkat kebangsaan.
Pidato Bahasa Inggeris
Bahasa Inggeris kini merupakan bahasa perantaraan yang begitu penting didunia. Keperluan untuk menguasai bahasa ini begitu mendesak tidak kira mereka itu pelajar, kakitangan mahupun masyarakat luar. Justeru itu, salah satu usaha untuk memungkinkan insan kamil untuk menguasai Bahasa Inggeris adalah dengan mengadakan pertandingan Pidato Bahasa Inggeris.
Tidak dinafikan pada pertandingan yang julung kali diadakan di Politeknik Muadzam Shah ini mempunyai begitu ramai pelajar yang boleh dan mampu menulis apa jua jenis artikel mahupun esei dalam Bahasa Inggeris. Tetapi tahukah anda, kelancaran anda menulis dalam Bahasa Inggeris sahaja belum cukup untuk meletakkan anda sebagai seorang yang mahir berbahasa Inggeris. Maka dengan itulah, Jawatankuasa Festival Kesenian Islam merancang untuk mengadakan pertandingan Pidato Bahasa Inggeris ini.
Biasanya dalam pertandingan sebegini, peserta diberi pilihan soalan/ tajuk pidato lebih awal agar para peserta mampu menghafal, mengingat dan menyampaikan pidato dengan lebih berkesan. Pada sesi yang kedua, pelajar akan diberikan soalan dan kemudiannya perlu mengembangkan idea serta pendapat da nisi berkenaan dengan tajuk yang dipilih. Pada sesi yang kedua inilah sebenarnya ujian sebenar para peserta. Selain perlu menjawab soalan secara spontan, mereka juga perlu berfikir dengan pantas serta menyediakan pelbagai pendapat dan idea bernas bagi menjawab soalan yang diberikan secara spontan. Dan disinilah, kita sebenarnya mampu melihat pelajar yang benar-benar bersedia dan mempunyai tatabahasa (grammar) yang baik.
Tilawah Al-Quran
Setiap manusia perlukan panduan untuk hidup. Jika panduan itu kearah yang salah, maka perjalanan hidup kita akan terpesong jauh. Tetapi jika sekiranya panduan itu betul, maka perjalanan hidup kita akan sentiasa dalam keredhaan Allah S.W.T. Oleh itu, ketahuilah kamu bahawa sebaik-baik panduan adalah Al-Quran.
Sebagai memenuhi ekspektasi Festival Kesenian Islam, jawatankuasa program mengadakan pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Politeknik Muadzam Shah. Tidak semua manusia mampu menyertai pertandingan tilawah, tidak semua manusia mampu bermusabaqah dengan baik. Namun terdapat segelintir manusia mampu bertilawah dan bermusabaqah dengan baik. Ini kerana, dewasa ini remaja lebih suka untuk “bercinta” dengan Majalah Mangga, Majalah Remaja, URTV, Komik Gila-Gila dan sebagai tetapi sebaliknya malas dan malu untuk bercinta dengan Al-Quran yang lebih besar manfaat dan kelebihannya.
Dalam pertandingan ini, perkara paling utama yang amat dititikberatkan adalah dari segi tajwid. Kesalahan tajwid merupakan salah satu perkara yang paling besar kesalahannya dalam bertilawah. Bukan itu sahaja, taranum juga perlu dikuasai dengan baik. Perlu dialunkan dengan sempurna mengikut lunas bacaan yang betul. Begitu juga dengan sebutan ”makhraj” huruf juga begitu diambil kira.
Secara amnya, Politeknik Muadzam Shah tidak ketandusan bakat-bakat baru dalam mencari Qari dan Qariah yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Nasyid
Menjadi kebiasaan bagi setiap Festival Kesenian Islam yang dianjurkan akan mengadakan pertandingan Nasyid sebagai acara kemuncak. Politeknik Muadzam Shah juga tidak ketinggalan dalam merencanakan program berkenaan.
Pada pertandingan kali ini, begitu ramai sebenarnya peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar mempunyai bakat dalam “bernasyid”. Lihat saja Kumpulan Nasyid dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal iaitu Kumpulan Nasymek begitu bersahaja dalam mengalunkan bait-bait kata indah dalam nyanyian. Begitu juga dengan Kumpulan Shoutul Haq yang begitu bersemangat dalam menyampaikan persembahan nasyid mereka.
Namun terdapat beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki jika sekiranya para pelajar mahu bernasyid secara serius. Walauapapun persembahan pada pertandingan yang julung kali diadakan itu secara keseluruhannya memuaskan.
Ceramah
Bagi Politeknik Muadzam Shah sebenarnya amat bertuah apabila menerima kunjungan Ustaz Mohd Erfino bin Johari yang dijemput sebagai penceramah. Terima kasih juga diucapkan kerana beliau sebenarnya begitu “sporting” apabila menerima pelawaan para pelajar dan kakitangan untuk membuat persembahan nasyid. Untuk pengetahuan semua, Ustaz Mohd Erfino Johari telah menyampaikan 3 buah lagu nasyid sebagai hadiah dari pihak beliau kepada PMS kerana menjemput beliau menyampaikan ceramah di PMS. Terima kasih juga diucapkan kepada En. Azri bin Abd Rajid yang juga menyampaikan persembahan yang begitu merdu dan mengasyikan pada malam itu (sempat lagi nak puji diri-sendiri).
Kesimpulan
Pertamanya, terima kasih diucapkan kepada Pn. Hajah Norlida binti Abd Razak, Pengarah Politeknik Muadzam Shah atas kehadiran beliau memeriahkan majlis dan menyokong usaha Jawatankuasa Program untuk meneruskan program ini. Tidak lupa juga kepada para juri-juri yang dilantik bagi mengadili pertandingan-pertandingan yang telah diadakan. Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu diambil perhatian agar Festival Kesenian Islam ini berjalan dengan lancar. Namun sebagai manusia kita tidak pernah lari dari melakukan kesilapan. Walauapapun, TAHNIAH diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Program dalam merencanakan program ini. Semoga mampu memberi manfaat kepada semua pelajar dan kakitangan.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment