Penuntut Politeknik Muadzam Shah terima BB1M!

Ditulis oleh; Politeknik Muadzam Shah on


Seramai kira-kira 1,500 penuntut Politeknik Muadzam Shah di sini menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang bernilai RM200 kelmarin.

Majlis penyerahan BB1M itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Senator Datuk Maznah Mazlan. Maznah yang ditemui kemudiannya berkata, pemberian baucar tersebut kepada setiap pelajar adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam membudayakan ilmu di peringat institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, baucar itu juga adalah 'hadiah istimewa' kerajaan kepada penuntut universiti agar mereka dapat membeli bahan rujukan untuk tujuan pembelajaran.

''Rakyat di negara ini ternyata sungguh bertuah kerana mereka mempunyai kepimpinan kerajaan yang sentiasa peka dengan segala keperluan rakyat termasuk dalam kalangan penuntut di IPT.

"Pemberian baucar ini juga merupakan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan budaya cintakan ilmu pengetahuan dalam kalangan penuntut universiti,'' katanya.

Menurut Maznah, walaupun kebanyakan penuntut terdedah kepada teknologi Internet, buku rujukan turut membantu mereka mendapatkan maklumat. Katanya, buku rujukan amat penting kepada setiap penuntut universiti kerana banyak ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperoleh daripada laman web.

"Saya percaya bahawa buku rujukan tidak akan pupus selagi penuntut terus menggunakannya sebagai bahan ilmiah dan sumber pengkajian kerana di dalamnya mengandungi pelbagai segala cabang ilmu yang diperlukan," katanya.

Menurutnya, penuntut seharusnya belajar dengan bersungguh-sungguh dan mencapai kecemerlangan kerana mereka merupakan kumpulan pelajar yang bertuah dan tidak dilupakan dalam merealisasikan matlamat pendidikan negara.

"Kerajaan memandang golongan ini adalah sebahagian daripada kumpulan yang perlu digerakkan serta diberi tumpuan kerana golongan ini bakal menentukan hala tuju dan masa depan negara," katanya.

Mengenai Penulis:

Azri Abd. Rajid mula terlibat dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007. Beliau sebenarnya berasal dari Keningau, Sabah dan kini menabur bakti di Politeknik Muadzam Shah, Pahang.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Twitter | Facebook

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment